SYARAT-SYARAT KEAHLIAN
KEAHLIAN
(1) Keahlian terbuka kepada warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas yang mempunyai kelayakan akademik yang berkaitan dengan pengurusan persekitaran dan/atau pengalaman di dalam hal ehwal pengurusan persekitaran. Kategori keahlian adalah seperti berikut:
(i) Ahli Biasa – Jawatankuasa boleh meluluskan permohonan seseorang yang memenuhi syarat yang tersebut di dalam Fasal 4 (1) undang-undang ini dan membayar bayaran masuk dan yuran tahunan kepada Pertubuhan menurut Fasal 5 (1) (i) undang-undang ini untuk menjadi Ahli Biasa.
(ii) Ahli Seumur Hidup – Jawatankuasa boleh meluluskan permohonan seseorang yang memenuhi syarat yang tersebut di dalam Fasal 4 (1) undang-undang ini dan membuat bayaran masuk sahaja kepada Pertubuhan menurut Fasal 5 (1) (ii) undang-undang ini untuk menjadi Ahli Seumur Hidup.
(iii) Ahli Kehormat – Jawatankuasa boleh, jika perlu, melantik seseorang yang layak iaitu seseorang yang berpengalaman luas di dalam bidang pengurusan persekitaran untuk menjadi Ahli Kehormat bagi Pertubuhan ini dengan syarat orang yang dilantik itu menyatakan persetujuannya secara bertulis.
(iv) Ahli Bersekutu – Jawatankuasa boleh meluluskan permohonan sesebuah pertubuhan yang mempunyai tujuan/matlamat yang berkaitan dengan pengurusan persekitaran dan membayar yuran tahunan sahaja pada setiap tahun kepada Pertubuhan menurut Fasal 5 (1) (iv) undang-undang ini untuk menjadi Ahli Bersekutu.
(v) Ahli Pelajar – Jawatankuasa boleh meluluskan permohonan seseorang yang sedang mengikuti program akademik diperingkat siswazah di dalam pengurusan persekitaran dan membayar bayaran masuk dan yuran tahunan kepada Pertubuhan menurut Fasal 5 (1) (v) undang-undang ini untuk menjadi Ahli Pelajar dengan syarat seorang pelajar Universiti atau Kolej Universiti tidak boleh diterima menjadi ahli Pertubuhan ini kecuali ia dibenarkan terlebih dahulu secara bertulis oleh Naib Canselor Universiti yang berkenaan.
(2) Tiap-tiap permohonan menjadi Ahli Seumur Hidup, Ahli Biasa, Ahli Pelajar atau Ahli Bersekutu hendaklah dihantar kepada Setiausaha yang dikehendaki mengemukakan permohonan itu dengan secepat mungkin kepada Jawatankuasa untuk diluluskan. Jawatankuasa boleh mengikut budibicaranya menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab-sebabnya.
(3) Tiap-tiap pemohon yang permohonannya telah diluluskan seperti yang tersebut di atas, hendaklah setelah membayar bayaran masuk dan yuran tahunan pertama seperti yang ditetapkan diterima menjadi ahli Pertubuhan dan berhaklah ia sebagai ahli.
(4) Adalah dihadkan bahawa hanya ahli-ahli dari kategori keahlian iaitu Ahli Biasa, Ahli Seumur Hidup dan Ahli Pelajar sahaja yang layak dan berhak mengundi di dalam mesyuarat agung Pertubuhan.
(5) Seorang pelajar Universiti atau Kolej Universiti tidak boleh diterima menjadi ahli Pertubuhan ini kecuali ia dibenarkan terlebih dahulu secara bertulis oleh Naib Canselor Universiti yang berkenaan
BAYARAN MASUK, YURAN DAN BAYARAN LAIN
(1) Bayaran masuk dan yuran tahunan keahlian yang perlu dijelaskan adalah seperti berikut:
i. Ahli Biasa –
Bayaran Masuk: RM100.00 (RM Satu Ratus Sahaja)
Yuran Tahunan : RM50.00 (RM Lima Puluh Sahaja)
ii. Ahli Seumur Hidup –
Bayaran Masuk: RM500.00 (RM Lima Ratus Sahaja)
Yuran Tahunan: Tiada
iii. Ahli Kehormat –
Bayaran Masuk: Tiada
Yuran Tahunan : Tiada
iv. Ahli Bersekutu –
Bayaran Masuk: Tiada
Yuran Tahunan : RM 1000.00 (RM Satu Ribu Sahaja)
v. Ahli Pelajar –
Bayaran Masuk: RM 50.00 (RM Lima Puluh Sahaja)
Yuran Tahunan : RM 50.00 (RM Lima Puluh Sahaja)
(2) Yuran Tahunan hendaklah dijelaskan kepada Bendahari terlebih dahulu sebelum atau pada 15 Februari setiap tahun.
(3) Ahli yang membiarkan hutang yurannya lebih daripada dua tahun akan menerima surat peringatan yang ditandatangan oleh atau wakil Setiausaha, dan hilanglah hak-hak keistimewaannya sebagai ahli sehingga hutangnya telah dijelaskan.
(4) Ahli yang membiarkan hutangnya sebanyak lebih dari jumlah yuran bagi tiga tahun dengan sendirinya terhenti daripada menjadi ahli Pertubuhan dan Jawatankuasa boleh memerintahkan supaya tindakan yang sah diambil terhadapnya dengan syarat mereka berpuashati yang ahli itu telah menerima kenyataan berkenaan hutangnya terlebih dahulu.
(5) Jawatankuasa mempunyai kuasa menetapkan yuran masuk semula bagi sesiapa yang telah membiarkan keahliannya terlucut disebabkan hutang.
(6) Yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu boleh dipungut dengan persetujuan mesyuarat agung ahli-ahli. Sekiranya ada ahli yang mungkir membayar wang yuran tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan, maka wang itu akan dianggap sama seperti hutang yuran tahunan.
PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI
(1) Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli Pertubuhan hendaklah memberi kenyataan bertulis dua minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha dan menjelaskan segala hutangnya.
(2) Mana-mana ahli yang gagal mematuhi undang-undang Pertubuhan atau bertindak dengan cara yang akan mencemarkan nama baik Pertubuhan boleh dipecat atau digantung keahliannya bagi suatu tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa. Sebelum Jawatankuasa memecat atau menggantung ahli tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan atau penggantungannya secara bertulis. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membela dirinya. Pemecatan atau penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan mesyuarat agung menunda atau membatalkan keputusan itu atas rayuan oleh ahli tersebut.